Mengapa Saya Berhijrah Episod 4: Perjalanan Anak Muda 'Haraki' Pasca Bai'ah
hasrizal hasrizal
15.6K subscribers
1,447 views
86

 Published On May 11, 2023

Mengapa Saya Berhijrah?

Masih meneroka jawapan kepada pertanyaan ini.

Kali ini, di episod keempat, saya merenung kembali kenangan, impian, dan harapan saya sebagai anak muda ‘haraki’ yang baru sahaja meninggalkan alam persekolahan. Sebelum terbang ke Jordan pada 15 September 1993, saya mengikuti kursus intensif Bahasa Arab di sebuah kolej di Terengganu. Ketika itulah saya ambil peluang untuk mengikuti kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila. Namun kebersamaan saya dengan PAS, andai sebelum ini adalah atas pilihan sendiri dan mengembangkannya secara ‘self-taught’, berubah menjadi ‘rasmi’ apabila saya berpeluang menziarahi Tuan Guru Ustaz Harun Taib di Kubang Lembek. Saya mengambil keputusan berbai’ah.

Bai’ah itu tidak ada apa-apa yang ‘supestitious’ mengenainya. Saya perlu sebut begitu kerana ada sesetengah mereka yang berbai’ah membayangkannya sebagai sesuatu yang luar biasa, jika melanggarnya nanti akan ditimpa bala dan sebagainya. Bagi saya, bai’ah itu adalah untuk menzahirkan komitmen dan kesetiaan, serta menguatkan keazaman dalam perjuangan.

Apa yang lebih lekat pada diri saya adalah kupasan Ustaz Harun Taib ke atas surah al-Taubah ayat 122. Kalimah ‘nafara’ dalam ayat itu membantu saya merumuskan perjalanan saya yang seterusnya bukan main-main. Ia adalah perjuangan.

Sebelum berlepas ke Jordan, kami wajib mengikuti kursus BTN. Di dalam kursus itu, saya dan rakan-rakan terus menerus menerima provokasi kerana kami pelajar agama dan akan ke negara Arab. Ia mencetuskan beberapa konfrontasi, menjadikan saya melihat fasilitator walaupun Muslim, mereka bermusuh dengan perjuangan Islam.

Saya cuba memahami liku-liku fikrah haraki saya terbentuk, menggunakan kerangka Psychopolitical Analysis model Jungian. Ia digunakan oleh Lawrence Alschuler di dalam kajiannya, “Islamism and fanaticism: A Jungian psychopolitical analysis.” Psychotherapy and Politics International 9.2 (2011).

Alschuler mengkaji autobiografi bekas aktivis Hizb al-Tahrir,  Ed Husain bertajuk The Islamist: Why I Joined Radical Islam in Britain, What I Saw Inside and Why I Left.

Hizb al-Tahrir berbeza dengan gerakan seperti PAS, kerana di zaman Ed Husain, mereka menolak penyertaan Islamis di dalam aktiviti demokrasi. Tidak seperti PAS. Tetapi saya kira proses pembentukan fikrah saya di dalam PAS masih boleh mengguna pakai model Jungian tersebut.

Tahap-tahap seperti naive consciousness, fanaticised consciousness, liberated consciousness, dan lain-lain yang Alschuler terangkan di dalam kajiannya, menjelaskan pola-pola fikiran saya ketika itu.

Apabila saya tiba di Jordan pada 16 September 1993.

Keesokan harinya saya sudah pun dihubungi oleh seorang senior, yang mahu menemukan saya dengan seorang ustaz dari Syria yang turun ke Amman untuk meraikan kedatangan saya. Topik ini agak sensitif, namun saya berharap sahabat yang membaca catatan ini atau menonton / mendengar video mengenainya, dapat menghargai bahawa saya bercerita akan hal ini hanya sebagai mengenang sesuatu daripada masa silam. Saya tidak berniat tidak baik, berdendam, atau bermusuh dengan sesiapa. Topik utama masih MENGAPA SAYA BERHIJRAH.

Senior berkenaan menemukan saya dengan sahabat-sahabat di dalam circle Alami, iaitu nama yang umumnya dikenali di negara Arab, merujuk kepada IRC, sebagai istilah yang lebih dikenali di Malaysia pada masa itu. Selepas beramah mesra, saya ditanya soalan penting kerana ia adalah seumpama password kami.

“Anta datang ke Jordan ini, contact siapa?” saya ditanya.

Saya perlu menetapkan pendirian. Saya berterus terang bahawa saya menghubungi fulan bin fulan, dan saya sendiri sudah berbai’ah dengan Ustaz `harun Taib di Terengganu. Jawapan saya itu menyebabkan mereka tergamam. Untuk segera menamatkan awkward silence pada masa itu, saya minta diri untuk pulang.

Ketika itu saya bersyukur kepada Allah (perasaan yang diulas oleh Alschuler di dalam kajiannya), kerana saya telah memuktamadkan diri dan perjalanan seterusnya. Saya orang PAS, bukan IRC atau alami.

Malangnya, perjalanan seterusnya hadir bersama pelbagai ujian.

Ujian yang memaksa saya menjernihkan kefahaman sendiri dan pegangan, mana satu kepincangan akibat perbuatan dan perangai manusia, mana satu perkara dasar.

Insya-Allah ujian-ujian itu akan saya ulas dalam video berikutnya.

Di dalam siri ini, saya berusaha menjaga maruah semua yang terlibat, menjauhkan diri daripada menyebut nama, dan sekali lagi mengulang, bahawa saya mengkisahkan semula kenangan itu hari ini hanya untuk mencari ibrah dan kebaikan buat bekalan sisa-sisa kehidupan yang ada.

Saya sudah meninggalkan luka dan parut ujian itu di dalam lipatan kenangan silam.

Saya Hasrizal, ana uhibbukum fillah.

Hasrizal
www.rizal.ie

show more

Share/Embed