Majlis perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019
Air Times News Network Air Times News Network
138K subscribers
47,670 views
604

 Published On Sep 8, 2019

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan. Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih acara perbarisan dan perarakan turut menampilkan empat komponen bagi mendukung aspirasi itu iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Semangat cintakan negara, berintegrinti serta menolak amalan rasuah digarapkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 sebagai pegangan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.

Istimewanya pada sambutan kali ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke acara tersebut, pertama kali bagi Seri Paduka mencemar duli ke sambutan hari kebangsaan sejak ditabalkan pada 30 Julai lalu.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu sendiri sebuah Proton Saga; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sebahagian pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga seawal jam 6 pagi tadi, menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang, serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bersemangat walaupun acara utama belum bermula.

Sejurus keberangkatan baginda, Al-Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Shaiful Amir Omar.

Sambutan kemudian diteruskan dengan nyanyian Negaraku, disusuli acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan meriam yang melambangkan 14 negeri oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (RAD) di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bacaan ikrar Rukun Negara tahun ini dipimpin oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zuhairie Abu Bakar dan diiringi 62 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru dan pelajar; penjawat awam serta pekerja sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan.

Seterusnya, laungan keramat ‘Merdeka’ bergema di Dataran Putrajaya sebanyak tujuk kali.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ membabitkan 1,627 peserta, terdiri kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa Jalur Gemilang oleh pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet inspektor dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.

Ia disusuli dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan 670 pembawa bendera negeri serta bendera berwarna.

Melalui segmen keselamatan, Angkatan Tentera malaysia mnerupakan kontijen terbesar dalam perarakan tahun ini dengan penglibatan 3,771 pegawai dan anggota serta 115 aset utama dalam Tentera Laut, Tentera Darat mahupun Tentera Udara.

Pertunjukan terbang lintas pesawat udara dan helikopter yang menggegarkan ruang udara Putrajaya membabitkan 22 helikopter, sembilan pesawat angkut dan 24 pesawat pejuang paling mendapat tepukan yang gemuruh dari pengunjung.

Acara disudahi dengan persembahan penutup Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang menampilkan kepelbagaian bangsa Malaysia serta kemunculan Kumpulan Bunkface yang mendendangkan lagu “Kita Punya Malaysia”.

#AirTimes #SayangiMalaysiaku #MalaysiaBersih #Putrajaya #Merdeka #HariKebangsaan2019 #ATM #PDRM #APMM #JBPM #JalurGemilang #KitaPunyaMalaysia #UPNM #JKDM #JIM #RELA #KDN #GLC&Swasta #JKKNWPKL

show more

Share/Embed